“Kami Akan Rosakkan Lagu Yang Ada” – Kristal, Peserta Versus 2

Petikan dari blog...OHBULAN





“Kami akan rosakkan lagu yang ada. Itu fokus kami. Tapi merosakkan dalam kategori sihat la. Setiap episod berlainan temanya, jadi kami akan cuba buat yang terbaik,” jelas Lan apabila ditanya fokus mereka pada rancangan Versus nanti.


Inilah kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh vokalis utama kumpulan Kristal iaitu Lan. Selepas 14 tahun bergerak didalam industri, OHBULAN! pasti ramai yang merindukan kemunculan Kristal yang pernah popular dengan lagu-lagu seperti ‘Ku Membisu’ dan ‘Retorik Cinta’.
Kali ini, Kristal yang dianggotai oleh 4 orang anak muda iaitu Lan (vokalis), Rodi (gitaris), Izwan (bass) dan juga Asraf (drum) bakal berganding semula dikhalayak ramai apabila mereka akan turut berentap di rancangan realiti popular, Versus musim 2.
Untuk musim kedua ini, Kristal bakal berentap bersama 4 lagi kumpulan lain iaitu Estranged, Kyoto Protocol, Oh Chentaku dan juga Manifesto yang mengambil Tomok sebagai vokalis utama. Ketika ditemui di sidang akhbar Versus musim 2 semalam, Lan menjelaskan bahawa Kristal masih ada dan tidak pernah menghilangkan diri.
“Sebenarnya kami tak adalah diam sangat, ada juga kerana setiap minggu ada undangan persembahan. Mungkin undangan persembahan itu tak melibatkan media atau mana-mana TV sebab kami banyak terlibat dengan ‘private event’,” jelas Lan lagi.
Menjawab pada soalan OHBULAN!, Kristal memberitahu bahawa tujuan mereka menyertai Versus adalah kerana mahu membuktikan pada peminat bahawa persepsi mereka pada Kristal selama ini adalah tidak benar.
“Kalau boleh, kami mahu tukar persepsi orang ramai yang banyak bercerita tentang Kristal hanya memainkan muzik rock keras. Kami nak buktikan yang Kristal boleh bawa genre lain dan apa juga jenis persembahan.”
Namun, Kristal turut tidak menafikan bahawa kumpulan-kumpulan lain bakal memberikan saingan hebat pada mereka walaupun Kristal adalah satu-satunya kumpulan yang paling lama didalam industri iaitu 14 tahun.
“Kalau ikutkan nama, memang kamilah yang paling lama. Tapi ikutkan pengalaman ahli-ahli muzik dari kumpulan lain, mereka pun sudah lama. Setiap band ada pemuzik bertaraf profesional dan mungkin orang tak nampak sebab mereka bergerak secara ‘underground’,” jelas Lan lagi yang sudah berkahwin dan mempunyai 2 anak ini.
Menyentuh tentang harapan Kristal pada rancangan realiti Versus musim 2 ini, Lan memberitahu bahawa mereka memang mahukan kemenangan.
“Menang semua orang nak menang. Semua band harapkan kemenangan, tapi dalam setiap episod kami akan sentiasa buat kelainan.”
Versus musim 2 bakal keudara di TV9 pada 5 April ini setiap hari Jumaat jam 9.30 malam. Ia sekali lagi bakal dirakamkan di Space U8, Shah Alam untuk siaran langsung bagi konsert kedua dan seterusnya. Juara bakal bawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000. Musim pertama menyaksikan kumpulan Hujan menjuarai pertandingan ini diikuti Go Gerila! ditempat kedua.

Comments