Tomok Dalam Telemovie Diari Kampus Biru



Metafora lagu Cintaku Di Indonesia yang membuktikan penghargaan kepada peminatnya di negara garuda itu kini juga dipilih menjadi runut bunyi sebuah telefilem lakonan Tomok sendiri.

Telefilem yang diberi judul Diari Kampus Biru diterbitkan sepenuhnya oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) hasil ilham Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak menerusi Uniutama Management Holding Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh UUM sendiri.


Mendapat suntikan pengarah Murali Abdullah dan penulis skrip Nassarudin Abdul Rasif@ Ramli, telefilem berdurasi 90 minit itu juga akan menjalankan sesi penggambaran di Bandung, Sumatera Utara Indonesia.


Diari Kampus Biru merupakan sebuah sinetron ringkas hubungan percintaan antara pelajar di sebuah universiti di Malaysia dan Indonesia yang berdepan dengan pelbagai konflik antara penerimaan keluarga, penolakan atmosfera masyarakat dan paradoks cinta benci-sayang merentasi dua negara.

Bercerita mengenai watak Tomok selaku penyandang watak utama, Zakhrul, mainan emosi, perasaan dan jiwa perlu dizahirkan dari dalam dirinya.


"Watak Zakhrul merupakan cabaran yang berat bagi saya kerana ada beberapa babak yang perlukan saya menangis.

"Tapi, InsyaAllah dengan bimbingan daripada pengarah, krew produksi dan pelakon-pelakon lamai seperti Wan Maimunah dan Wan Nor Azlin, saya harap dapat memberikan hasil yang terbaik," katanya.

Selain itu, Tomok juga dikehendaki 'bercinta' dengan heroin utama telefilem itu, Fita Angela yang membawakan watak Aisha.

"Ya, saya perlu bercinta dengan Aisha, iaitu seorang pelajar dari Indonesia yang datang ke Malaysia untuk belajar," akui Tomok

Comments