Pekan Kuah adalah pekan yang terbesar di Pulau Langkawi. Pekan ini mendapat namanya lanjutan satu peristiwa yang berlaku beratus-ratus tahun dahulu. Pada masa itu, terdapat dua orang pahlawan di Langkawi, iaitu pahlawan Mat Raya dan pahlawan Mat Cincang. Mereka sama tangkas dan sama handal. Masing-masing pahlawan ini mempunyai seorang anak yang sudah remaja. Anak Mat Cincang perempuan manakala anak Mat Raya lelaki. Mereka saling jatuh cinta apabila sudah meningkat dewasa. Perhubungan mereka mendapat restu kedua-dua orang tua mereka. Seterusnya, perkahwinan mereka juga turut dipersetujui. Walau bagaimanapun, pada hari perkahwinan itu Mat Cincang dan Mat Raya telah berselisih faham. Kedua-duanya tidak mahu mengaku kalah. Masing-masing mengaku dirinya lebih hebat. Apabila kedua-dua pahlawan itu tidak dapat membendung perasaan mereka, berlakulah satu pergaduhan yang besar. | ||||
Mat Cincang dan Mat Raya sudah tidak menghiraukan orang ramai yang sibuk menyiapakan hidangan untuk majlis perkahwinan itu. Masing-masing ghairah untuk menewaskan lawannya. Semasa pergaduhan, mereka melanggar apa saja yang menyekat pergerakan mereka. Pinggan mangkuk dan belanga habis pecah bertaburan. Ada belanga yang terpelanting jauh dari situ. Tempat itu kini disebut Belanga Pecah. Kuah gulai pula tumpah dan mengalir ke satu tempat lain. Tempat itulah yang menjadi Pekan Kuah. Dalam pergaduhan itu tidak ada yang menang. Maka oleh kerana malu kepada orang ramai dan anak-anak mereka, akhirnya kedua-dua pahlawan itu lari untuk bertapa di dua buah gua yang berasingan. Mereka mati di sana. Mayat mereka masih belum dijumpai. Gunung pertapaan Mat Raya disebut Gunung Raya. Gunung yang menjulang di paras 1,000 meter ini adalah puncak yang tertinggi di Langkawi. Banyak sejarah dan legenda yang berasal dari Gunung Raya. | ||||
Kayu rangka binaan Balai Besar di Alor Setar dikatakan banyak yang diambil dari hutan Gunung Raya. Hutan ini juga menjadi puncak rezeki kepada penduduk tempatan. Ada yang datang ke hutan ini untuk mengutip kayu candan, kayu ramuan minyak wangi yang mahal hargaanya. Ada juga yang datang untuk mencari rotan dan manisan lebah. Nelayan Pulau Langkawi pula menjadikan Gunung Raya sebagai pedoman arah untuk balik ke pengkalan setelah keluar mencari rezeki di laut. Di samping itu, kebanyakan sungai di Pulau Langkawi bermula dari Gunung Raya. Antara sungai yang hulunya terletak di Gunung Raya itu ialah Sungai Hulu Melaka, Sungai Kisap, Sungai Kilim, Sungai Batu Asah dan Sungai Korok. Air dari sungai-sungai ini sering dikaitkan dengan perjodohan gadis di Langkawi . Apabila seseorang teruna berkahwin dengan gadis Langkawi, teruna itu dikatakan sudah terminum air Gunung Raya. |
Comments